Tuesday 3 December 2013

Review Novel Seru Saja Bintang Itu!

Alhamdulillah!

Syukur kepada Allah yang meluangkan masa saya (walaupun memakan masa beberapa hari) untuk menghabiskan bacaan sebuah karya hasil tulisan penulis Syima Syawal. Novel ini pernah saya ikuti bab demi bab secara atas talian yang disiarkan di laman sesawang Penulisan2u.

Novel yang sarat dengan info berunsur keagamaan ini bukan sahaja sesuai dibaca oleh golongan dewasa malahan amat digalakkan kepada para remaja. Walaupun bukan sepenuhnya watak utama iaitu Nurina menjaga batas pergaulan seorang perempuan dan lelaki yang bukan mahram, namun karya penulis yang sudah banyak menghasilkan buku awal remaja ini tidak sesekali menonjolkan adegan yang boleh merangsang imaginasi pembaca ke arah yang boleh menaikkan nafsu.

Watak utama, seorang gadis bernama Nurina yang membesar bersama Khairy Adrian, anak majikan kedua orang tuanya begitu menjaga maruah diri dan keluarga. Terpisah dek kerana hasad dengki dan fitnah ibu saudara Khairy Adrian sendiri, akhirnya dua jiwa yang setia terhadap kasih sayang yang terbina sejak kecil bertemu kembali ketika masing-masing sudah dewasa.

Walaupun gaya bahasa yang digunakan di dalam karya ini sedikit skema (saya ini agak gila-gila dan suka kepada sesuatu yang sempoi), namun masih mampu dihadam dengan tenang tanpa sebarang gangguan seperti novel yang saya baca sebelum ini. Pemilihan perkataan yang baik menjadikan garapan ayatnya begitu sopan.

Watak-watak yang diciptakan di dalam karya ini juga tidak ditonjolkan secara keterlaluan sifat-sifat tidak baik yang ada pada mereka. Contoh seperti watak Natasha yang menjadi kekasih Khairy Adrian yang digambarkan sebagai seorang wanita yang menggunakan lelaki untuk mendapatkan kesenangan hidup. Natasha di dalam novel ini walaupun seorang janda yang bersifat pisau cukur, masih dijaga tingkahlakunya oleh penulis. Natasha di dalam novel ini tidak dicorakkan melakukan adegan-adegan mencolok mata seperti kebanyakan novel cinta yang dihasilkan oleh penulis baru lewat kebelakangan ini.

Bagi mereka yang gemarkan bahan bacaan yang agak ringan dan tidak memenatkan minda melayan bahasa-bahasa pasar yang kasar (anda tidak akan jumpa satu pun) yang kadangkala amat tidak sesuai digunakan di dalam sesebuah karya, novel Seru Saja Bintang Itu! adalah salah satu bahan bacaan yang sesuai. Namun jika anda penggemar novel cinta yang olahannya boleh menyebabkan bulu roma merinding ataupun gaya bahasa yang tidak skema, mungkin anda hanya mampu membaca sedikit sahaja dan menyimpannya di dalam gobok (kalau anda mencari babak romantik keterlaluan, anda tidak akan menjumpai apa yang anda cari di dalam novel ini walaupun watak-wataknya sangat-sangat saling mencintai. Hehehehe...).

Banyak moral yang boleh diperolehi di dalam novel ini seperti pengorbanan Nurina menikahi Black demi menjaga maruah keluarga, kasih sayang keluarga, dendam yang tidak dibiarkan menjadi barah di dalam hati, kesetiaan, sikap setiakawan dan banyak lagi. Ada banyak lagi yang ada di dalam novel ini namun dek kerana saya membacanya bersambung-sambung, berkemungkinan ada bahagian-bahagian yang boleh dihuraikan yang saya terlepas pandang.

Secara keseluruhannya, walaupun tajuk novel agak kurang menarik perhatian (tidak catchy sebab tiada perkataan 'suami/isteri' atau cinta. Hehehe...), isinya agak menarik untuk dibaca. Bagi ibu bapa yang minat membaca novel, naskah ini sesuai dikongsikan dengan anak-anak remaja anda.


2 comments:

  1. yang ni takde pulak sesape nak komen.. mungkin agaknya review ini memuji bukan seperti review hantu punya bos yang membetulkan kesilapan...

    ReplyDelete