Saturday 7 December 2013

Review Novel Dia Yang Aku Pilih

Maaf! 

Perkataan yang boleh menggambarkan serba sedikit tentang apa yang bakal saya perkatakan setelah selesai membaca novel ini. 

Novel berkisar tentang Ariana yang bekerja sebagai setiausaha Haji Fahmi dan dalam masa yang sama merupakan jiran kepada Encik Izudin. Gadis berusia 25 tahun ini masih belum berumahtangga dan berasa agak tertekan dengan keinginan ibunya hendak melihat dia berumahtangga.

Saya tidak mampu menjiwai watak Ariana yang dibayangkan sebagai gadis yang menjadi rebutan dua orang jejaka. Saya tidak nampak apa yang ingin ditunjukkan oleh penulis di dalam naskah ini. Saya cuma nampak Haji Fahmi langsung tidak masuk carta dan Encik Izudin sudah mendiami hati Ariana daripada mula cerita.

Berbeza dengan karyanya yang saya baca sebelum ini, saya masih boleh membaca ayat demi ayat sehingga sampai ke bahagian biodata penulis. Namun kali ini, saya akui, saya tidak mampu. Saya terpaksa melompat-lompat mukasurat membacanya dan pembacaan kali ini mengambil masa yang sangat singkat.

Jemu? Ya, itu adalah satu perkataan yang timbul di dalam kepala saya tatkala saya berfikir kenapakah saya tidak berjaya menghayati watak. Saya jemu cara penulis menggayakan penceritaannya. Mendatar.

Mungkin penulis mahu memberikan pembaca cerita yang santai di dalam naskah ini, dan perjalanan hidup Ariana dijalinkan sebagai satu perjalanan yang mudah. Ariana anak tunggal, disukai dua jejaka, daripada mula memang nampak Ariana sudah menyukai Encik Izudin, Haji Fahmi yang tidak berdendam mahupun menjadi penghalang kepada hubungan Ariana dan Encik Izudin, 

Konflik cuma ada sedikit yang ringan seperti gangguan budak jahat ketika Ariana di pantai dan ketika Ariana keluar sendirian makan malam semasa kedua orang tuanya tiada dan kesemuanya ada hero (Encik Izudin) yang menyelamatkan. Sungguh bernasib baik Ariana, di mana dia ada, di situ Encik Izudin ada menjadi penyelamatnya.

Kewujudan Julia juga tidak begitu mengujakan. Kegedikan yang ditunjukkan dalam usaha memikat hati Encik Izudin dan sedikit sebanyak menyakitkan hati Ariana hingga menyebabkan Ariana berterus-terang tentang perasaan cintanya kepada Encik Izudin, setakat itu sahaja kegunaan watak Julia. 

Kak Dila pula, memang tidak termasuk dalam senarai pencetus konflik walaupun dia cuba menyakitkan hati Ariana selepas bercerai dengan Encik Izudin sebab sudah sememangnya kita tahu Encik Izudin memang sudah suka kepada Ariana sejak dia dan Dila masih lagi pasangan suami isteri.

Entahlah. Saya tidak berasa teruja membaca novel ini. Saya tidak tahu di mana silapnya. Gaya bahasanya bagus, namun terasa hambar. Ia seolah tiada x-factor. Ia tiada sesuatu yang membuatkan mata saya terus melekap di tiap patah perkataan. 

Mungkin saya membayangkan, garapan hidup Ariana tidak semudah yang dijalin oleh penulis. Saya mengharapkan Ariana menghadapi konflik yang sedikit berat, bukannya statik dan sangat mudah untuk diselesaikan. Konflik yang bisa membuat saya berasa seolah-olah saya adalah Ariana yang diduga dan saya mahu konflik yang menimpa saya berakhir serta kebahagiaan menjadi milik saya.

Melebih-lebih pulak saya ye? Tolong jangan suruh saya menulis sendiri cerita yang saya bayangkan kerana saya tiada kepandaian itu. Saya cuma pandai membaca sahaja. Hehehe...

Saya mohon maaf sekali lagi kepada penulis novel ini. Saya tahu susahnya menyiapkan sebuah manuskrip. Hanya mereka yang cekal sahaja mampu melakukan. Penulis adalah salah seorang daripada mereka. 

Mungkin bagi saya ia kurang umph, namun tidak bagi pembaca yang lain. Lain orang, lain citarasanya bukan? Saya tetap menunggu novel seterusnya daripada penulis walaupun naskah kali ini tidak menepati citarasa saya.



 


1 comment:

  1. Ummi nak.kata pa yaa..sebab ummi.belum baca novel ni lagi..apa pun di mna silap jalannya harus penulis perbaiki....mungkin permulaan cerita ni dah mengambarkan keseluruhan jalan cerita atau novel ini mendatar seperti kata kuntum. .

    ReplyDelete