Wednesday 4 December 2013

Review Novel Bukan Kerana Aku Tak Cinta

Selesai sudah saya membaca novel ketiga E-Man Sufi ini. Teruja dengan garapan penulisnya membuatkan jemari ini tidak letih untuk menyelak helaian demi helaian sehingga bertemu perkataan 'tamat'.

Saya tidak membaca dua buah novel tulisan E-Man Sufi sebelum ini. Novel Bukan Kerana Aku Tak Cinta ini juga sebenarnya saya beli setelah terbaca di Facebook tentang drama adaptasinya yang bakal bersiaran di televisyen.

Tidak sia-sia saya membeli novel ini, gaya bahasanya menarik. Seperti novel Seru Saja Bintang Itu! yang saya ulas sebelum ini, tiada babak-babak romantik keterlaluan yang ditunjukkan di dalam novel ini. 

Bayangkan cerita ini berkisah tentang seorang ketua kongsi gelap yang bergelumang dosa dan noda akhirnya bertaubat dan sentiasa memelihara diri dari kembali kepada perangai yang lama. Saya salute kepada penulisnya yang mampu mengolah cerita ini dengan begitu kemas dan menarik. 

Tidak banyak yang dapat saya perkatakan tentang karya yang saya rasakan memenuhi citarasa saya ini. Bahasanya terjaga, olahannya kemas dan menarik, apa yang ingin disampaikan oleh penulis berjaya diserap masuk ke dalam jiwa saya.

Penulis mampu mengajak saya masuk ke dalam kisah hidup Jebat. Penulis berjaya membuat saya merasai kemelut jiwa Jebat yang bergelodak hebat menahan perasaan, melawan godaan dan menghadapi cercaan dan hinaan dalam perjuangannya mempertahankan jalan baru yang telah dipilihnya.

Memang benar, di belakang seorang lelaki, ada wanita yang menjadi sokongnya dan penulis berjaya membuatkan watak Mastura sebagai seorang wanita yang bukan sahaja cinta kepada Jebat kerana kekacakan wajahnya, malahan Mastura cinta kepada keseluruhan diri Jebat tanpa mengira siapa diri Jebat sebelum bertaubat. Mastura juga terus berada di belakang Jebat walau apapun yang berlaku sebagai pembakar semangat agar Jebat tidak berasa keseorangan menghadapi dugaan.

Banyak nilai moral yang boleh diceduk di dalam novel ini. Tidak rugi memaafkan kekhilafan orang kerana aturan Allah tiada siapa yang tahu. Orang yang jahat tidak semestinya tidak pernah membuat kebaikan dan mungkin sekali kebaikan yang dibuatnya adalah kunci kepada kebahagiaan kita hari ini. Itu yang penulis telah tunjukkan di dalam novel ini dan sesungguhnya ia membuka mata kita supaya tidak memandang orang yang jahat itu sebagai orang jahat selamanya.

Terima kasih E-Man Sufi kerana telah menulis sebuah cerita yang sangat menarik.

No comments:

Post a Comment