Saturday 7 December 2013

Review Novel Dia Yang Aku Pilih

Maaf! 

Perkataan yang boleh menggambarkan serba sedikit tentang apa yang bakal saya perkatakan setelah selesai membaca novel ini. 

Novel berkisar tentang Ariana yang bekerja sebagai setiausaha Haji Fahmi dan dalam masa yang sama merupakan jiran kepada Encik Izudin. Gadis berusia 25 tahun ini masih belum berumahtangga dan berasa agak tertekan dengan keinginan ibunya hendak melihat dia berumahtangga.

Saya tidak mampu menjiwai watak Ariana yang dibayangkan sebagai gadis yang menjadi rebutan dua orang jejaka. Saya tidak nampak apa yang ingin ditunjukkan oleh penulis di dalam naskah ini. Saya cuma nampak Haji Fahmi langsung tidak masuk carta dan Encik Izudin sudah mendiami hati Ariana daripada mula cerita.

Berbeza dengan karyanya yang saya baca sebelum ini, saya masih boleh membaca ayat demi ayat sehingga sampai ke bahagian biodata penulis. Namun kali ini, saya akui, saya tidak mampu. Saya terpaksa melompat-lompat mukasurat membacanya dan pembacaan kali ini mengambil masa yang sangat singkat.

Jemu? Ya, itu adalah satu perkataan yang timbul di dalam kepala saya tatkala saya berfikir kenapakah saya tidak berjaya menghayati watak. Saya jemu cara penulis menggayakan penceritaannya. Mendatar.

Mungkin penulis mahu memberikan pembaca cerita yang santai di dalam naskah ini, dan perjalanan hidup Ariana dijalinkan sebagai satu perjalanan yang mudah. Ariana anak tunggal, disukai dua jejaka, daripada mula memang nampak Ariana sudah menyukai Encik Izudin, Haji Fahmi yang tidak berdendam mahupun menjadi penghalang kepada hubungan Ariana dan Encik Izudin, 

Konflik cuma ada sedikit yang ringan seperti gangguan budak jahat ketika Ariana di pantai dan ketika Ariana keluar sendirian makan malam semasa kedua orang tuanya tiada dan kesemuanya ada hero (Encik Izudin) yang menyelamatkan. Sungguh bernasib baik Ariana, di mana dia ada, di situ Encik Izudin ada menjadi penyelamatnya.

Kewujudan Julia juga tidak begitu mengujakan. Kegedikan yang ditunjukkan dalam usaha memikat hati Encik Izudin dan sedikit sebanyak menyakitkan hati Ariana hingga menyebabkan Ariana berterus-terang tentang perasaan cintanya kepada Encik Izudin, setakat itu sahaja kegunaan watak Julia. 

Kak Dila pula, memang tidak termasuk dalam senarai pencetus konflik walaupun dia cuba menyakitkan hati Ariana selepas bercerai dengan Encik Izudin sebab sudah sememangnya kita tahu Encik Izudin memang sudah suka kepada Ariana sejak dia dan Dila masih lagi pasangan suami isteri.

Entahlah. Saya tidak berasa teruja membaca novel ini. Saya tidak tahu di mana silapnya. Gaya bahasanya bagus, namun terasa hambar. Ia seolah tiada x-factor. Ia tiada sesuatu yang membuatkan mata saya terus melekap di tiap patah perkataan. 

Mungkin saya membayangkan, garapan hidup Ariana tidak semudah yang dijalin oleh penulis. Saya mengharapkan Ariana menghadapi konflik yang sedikit berat, bukannya statik dan sangat mudah untuk diselesaikan. Konflik yang bisa membuat saya berasa seolah-olah saya adalah Ariana yang diduga dan saya mahu konflik yang menimpa saya berakhir serta kebahagiaan menjadi milik saya.

Melebih-lebih pulak saya ye? Tolong jangan suruh saya menulis sendiri cerita yang saya bayangkan kerana saya tiada kepandaian itu. Saya cuma pandai membaca sahaja. Hehehe...

Saya mohon maaf sekali lagi kepada penulis novel ini. Saya tahu susahnya menyiapkan sebuah manuskrip. Hanya mereka yang cekal sahaja mampu melakukan. Penulis adalah salah seorang daripada mereka. 

Mungkin bagi saya ia kurang umph, namun tidak bagi pembaca yang lain. Lain orang, lain citarasanya bukan? Saya tetap menunggu novel seterusnya daripada penulis walaupun naskah kali ini tidak menepati citarasa saya.



 


Wednesday 4 December 2013

Review Novel Bukan Kerana Aku Tak Cinta

Selesai sudah saya membaca novel ketiga E-Man Sufi ini. Teruja dengan garapan penulisnya membuatkan jemari ini tidak letih untuk menyelak helaian demi helaian sehingga bertemu perkataan 'tamat'.

Saya tidak membaca dua buah novel tulisan E-Man Sufi sebelum ini. Novel Bukan Kerana Aku Tak Cinta ini juga sebenarnya saya beli setelah terbaca di Facebook tentang drama adaptasinya yang bakal bersiaran di televisyen.

Tidak sia-sia saya membeli novel ini, gaya bahasanya menarik. Seperti novel Seru Saja Bintang Itu! yang saya ulas sebelum ini, tiada babak-babak romantik keterlaluan yang ditunjukkan di dalam novel ini. 

Bayangkan cerita ini berkisah tentang seorang ketua kongsi gelap yang bergelumang dosa dan noda akhirnya bertaubat dan sentiasa memelihara diri dari kembali kepada perangai yang lama. Saya salute kepada penulisnya yang mampu mengolah cerita ini dengan begitu kemas dan menarik. 

Tidak banyak yang dapat saya perkatakan tentang karya yang saya rasakan memenuhi citarasa saya ini. Bahasanya terjaga, olahannya kemas dan menarik, apa yang ingin disampaikan oleh penulis berjaya diserap masuk ke dalam jiwa saya.

Penulis mampu mengajak saya masuk ke dalam kisah hidup Jebat. Penulis berjaya membuat saya merasai kemelut jiwa Jebat yang bergelodak hebat menahan perasaan, melawan godaan dan menghadapi cercaan dan hinaan dalam perjuangannya mempertahankan jalan baru yang telah dipilihnya.

Memang benar, di belakang seorang lelaki, ada wanita yang menjadi sokongnya dan penulis berjaya membuatkan watak Mastura sebagai seorang wanita yang bukan sahaja cinta kepada Jebat kerana kekacakan wajahnya, malahan Mastura cinta kepada keseluruhan diri Jebat tanpa mengira siapa diri Jebat sebelum bertaubat. Mastura juga terus berada di belakang Jebat walau apapun yang berlaku sebagai pembakar semangat agar Jebat tidak berasa keseorangan menghadapi dugaan.

Banyak nilai moral yang boleh diceduk di dalam novel ini. Tidak rugi memaafkan kekhilafan orang kerana aturan Allah tiada siapa yang tahu. Orang yang jahat tidak semestinya tidak pernah membuat kebaikan dan mungkin sekali kebaikan yang dibuatnya adalah kunci kepada kebahagiaan kita hari ini. Itu yang penulis telah tunjukkan di dalam novel ini dan sesungguhnya ia membuka mata kita supaya tidak memandang orang yang jahat itu sebagai orang jahat selamanya.

Terima kasih E-Man Sufi kerana telah menulis sebuah cerita yang sangat menarik.

Tuesday 3 December 2013

Review Novel Seru Saja Bintang Itu!

Alhamdulillah!

Syukur kepada Allah yang meluangkan masa saya (walaupun memakan masa beberapa hari) untuk menghabiskan bacaan sebuah karya hasil tulisan penulis Syima Syawal. Novel ini pernah saya ikuti bab demi bab secara atas talian yang disiarkan di laman sesawang Penulisan2u.

Novel yang sarat dengan info berunsur keagamaan ini bukan sahaja sesuai dibaca oleh golongan dewasa malahan amat digalakkan kepada para remaja. Walaupun bukan sepenuhnya watak utama iaitu Nurina menjaga batas pergaulan seorang perempuan dan lelaki yang bukan mahram, namun karya penulis yang sudah banyak menghasilkan buku awal remaja ini tidak sesekali menonjolkan adegan yang boleh merangsang imaginasi pembaca ke arah yang boleh menaikkan nafsu.

Watak utama, seorang gadis bernama Nurina yang membesar bersama Khairy Adrian, anak majikan kedua orang tuanya begitu menjaga maruah diri dan keluarga. Terpisah dek kerana hasad dengki dan fitnah ibu saudara Khairy Adrian sendiri, akhirnya dua jiwa yang setia terhadap kasih sayang yang terbina sejak kecil bertemu kembali ketika masing-masing sudah dewasa.

Walaupun gaya bahasa yang digunakan di dalam karya ini sedikit skema (saya ini agak gila-gila dan suka kepada sesuatu yang sempoi), namun masih mampu dihadam dengan tenang tanpa sebarang gangguan seperti novel yang saya baca sebelum ini. Pemilihan perkataan yang baik menjadikan garapan ayatnya begitu sopan.

Watak-watak yang diciptakan di dalam karya ini juga tidak ditonjolkan secara keterlaluan sifat-sifat tidak baik yang ada pada mereka. Contoh seperti watak Natasha yang menjadi kekasih Khairy Adrian yang digambarkan sebagai seorang wanita yang menggunakan lelaki untuk mendapatkan kesenangan hidup. Natasha di dalam novel ini walaupun seorang janda yang bersifat pisau cukur, masih dijaga tingkahlakunya oleh penulis. Natasha di dalam novel ini tidak dicorakkan melakukan adegan-adegan mencolok mata seperti kebanyakan novel cinta yang dihasilkan oleh penulis baru lewat kebelakangan ini.

Bagi mereka yang gemarkan bahan bacaan yang agak ringan dan tidak memenatkan minda melayan bahasa-bahasa pasar yang kasar (anda tidak akan jumpa satu pun) yang kadangkala amat tidak sesuai digunakan di dalam sesebuah karya, novel Seru Saja Bintang Itu! adalah salah satu bahan bacaan yang sesuai. Namun jika anda penggemar novel cinta yang olahannya boleh menyebabkan bulu roma merinding ataupun gaya bahasa yang tidak skema, mungkin anda hanya mampu membaca sedikit sahaja dan menyimpannya di dalam gobok (kalau anda mencari babak romantik keterlaluan, anda tidak akan menjumpai apa yang anda cari di dalam novel ini walaupun watak-wataknya sangat-sangat saling mencintai. Hehehehe...).

Banyak moral yang boleh diperolehi di dalam novel ini seperti pengorbanan Nurina menikahi Black demi menjaga maruah keluarga, kasih sayang keluarga, dendam yang tidak dibiarkan menjadi barah di dalam hati, kesetiaan, sikap setiakawan dan banyak lagi. Ada banyak lagi yang ada di dalam novel ini namun dek kerana saya membacanya bersambung-sambung, berkemungkinan ada bahagian-bahagian yang boleh dihuraikan yang saya terlepas pandang.

Secara keseluruhannya, walaupun tajuk novel agak kurang menarik perhatian (tidak catchy sebab tiada perkataan 'suami/isteri' atau cinta. Hehehe...), isinya agak menarik untuk dibaca. Bagi ibu bapa yang minat membaca novel, naskah ini sesuai dikongsikan dengan anak-anak remaja anda.


Monday 2 December 2013

Review Novel Hantu Punya Bos!

Lega!

Akhirnya berjaya juga saya membaca 'Hantu Punya Bos!' sehingga bertemu perkataan tamat walaupun begitu seksa sampai terlelap-lelap sambil membaca saya hendak menghabiskannya. Ulasannya;

1 - Jalan ceritanya terlalu 'cliche'. Diterima bekerja, bos mula suka, tunjukkan penolakan (buat macam-macam sakitkan hati tapi dalam hati penuh cinta), cemburu dan luahkan rasa, bercinta, kahwin.

2 - Novel yang santai tidak semestinya menggunakan bahasa kasar yang sama seperti digunakan di alam realiti. Contoh, walau di alam nyata kita biasa menggunakan perkataan kasar seperti 'haram/harem', 'berkulit babi' dan 'bongok' tetapi di dalam novel tidak sepatutnya perkataan2 tersebut digunakan.


3 - Kelogikan perlu ada. Mana ada orang yang berumur 31 tahun, matang dan berkedudukan tinggi tapi berperangai macam budak baru habis sekolah yang baru belajar bercinta. Sehari declare kekasih dah panggil hubby, ayang.

4 - Budak-budak bawah umur memang tidak digalakkan membaca novel ini. Di dalamnya terlalu banyak pengaruh tidak sihat yang ditemui. Baru bercinta tapi pergaulan seperti sudah berkahwin, bersentuhan sesuka hati, itu bukan budaya Melayu yang harus diterapkan di dalam sesebuah naskah melainkan ianya sebagai pendahuluan kepada titik perubahan watak (bersentuhan sesuka hati tapi tak jadi kawin dan watak akhirnya sedar akan kesilapannya serta bertaubat tidak akan mengulangi).

5 - Saya cuba mencari moral yang cuba ditunjukkan di dalam naskah ini tapi selain daripada Arrayyan berubah daripada suka menjerkah dan menjatuhkan airmuka pekerja kepada lebih tahu menghargai setelah jatuh cinta kepada Abby, kasih sayang seorang anak kepada orang tuanya, tiada lagi yang saya temui.

6 - Saya tahu susahnya memerah otak menyiapkan sesebuah karya, tahniah saya ucapkan kepada penulis yang sudah berjaya menyudahkannya. Tiada niat saya untuk mencari kesalahan penulis di dalam karya sulungnya ini mahupun menjatuhkan semangatnya. Saya ikhlas menegur supaya penulis dapat memperbaiki hasil penulisannya dan pembaca seperti saya dapat membaca sesuatu karya yang mempunyai garapan yang penuh dengan nilai-nilai moral yang boleh membimbing anak-anak muda ke arah yang lebih baik.